27 Oktober, 2010

Tanggungjawab Vs Dipertanggungjawabkan

Salam,

Apakah yang kita faham sebenarnya tentang tanggungjawab ? Tanggungjawab adalah sinonim dengan perkataan amanah, tanggungjawab adalah tugas yang dibebankan ke atas individu sesuai dengan kemampuan dan kebolehannya dalam melaksanakan tugas tersebut. Dalam istilah agama disebut sebagai taklif, iaitu dibebankan dengan tanggungjawab. Orang yang menerima bebanan dipanggil mukallaf. Tentu kita pernah dengar usia mukallaf ?Iaitu usia dimana seseorang itu dianggap boleh menerima bebanan, dan hal ini dikecualikan kepada mereka yang dibawah umur dan mereka ini tidak dibebani dengan tanggunjawab.

Kita dah kenal apa itu tanggungjawab, apakah sama tanggungjawab antara kita dengan individu yang lain ? Kalau dilihat pada takrifnya, tanggungjawab itu sebenarnya relatif ianya tidak sama antara individu dan individu yang lain. Contohnya tanggungjawab keselamatan, tidak mungkin kita akan meletakkan keseluruhan tanggungjawab keselamatan itu di atas kesemua bahu individu yang ada dalam sesebuah organisasi atau masyarakat, kerana sebenarnya bukan semua diantara kita mampu mengambil tanggungjawab terhadap keselamatan diri kita seumpamanya budak-budak, orang gila, wanita yang lemah, orang tua dan orang yang cacat.

Suami sebagai ketua keluarga bertanggungjawab penuh dari sudut material, rohani dan akhlak. Antara tanggungjawab utama suami ialah:

1. Menyara dan memberi nafkah terhadap ahli keluarga mereka. Khasnya memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, terutama anak-anak yang belum mampu untuk bekerja. Sesiapa yang tidak menunaikan tanggungjawab tersebut merupakan dosa. Sebagaimana hadis riwayat Muslim, Ahmad dan Abu Daud.

“Cukuplah seseorang itu dikira berdosa, apabila ia membiarkan orang di bawah jagaannya (tiada nafkah).”

2. Tanggungjawab suami juga dapat dikaitkan secara langsung dengan kepimpinannya terhadap isteri dan anak-anak. Seorang suami tidak sepatutnya bertindak kasar atau zalim biarpun kadangkala anak dan isteri ada melakukan kesilapan. Sesuai dengan firman ALLAH:

“Dan jika kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka ALLAH akan berbuat demikian terhadap kamu), kerana sesungguhnya ALLAH amat pengampun lagi amat mengasihani.”

(Surah al-Taghabun ayat 14)

Maka bagaimana dengan wanita? Ia di bincangkan dibawah.

Secara lazimnya, urusan rumah tangga dan keluarga telah dipertanggungjawabkan kepada kaum wanita. Wanita melalui peranannya sebagai isteri dipertanggungjawabkan menjaga hal-hal rumahtangga seperti menguruskan makan minum, perbelanjaan rumah dan sebagainya. Selain daripada itu, sebagai seorang ibu mereka dipertanggungjawabkan untuk mendidik, menjaga, dan mengasuh anak-anak.

Tugas tugas ini sudah mulai menjadi beban kepada wanita sekiranya mereka juga perlu berkerja untuk mendapat pendapatan. Kerja-kerja urusan rumah diserahkan kepada pembantu rumah tetapi tanggungjawabnya masih diamanahkan kepada isteri. Ini akan mengakibatkan isteri semakin hari semakin hilang kemahiran mengurus rumahtangga. Ramai wanita yang bekerja dididik agar dapat mengurus kerjaya mereka dengan baik. Tetapi sebaliknya pendidikan dan keupayaan mengurus rumah tangga semakin hari semakin menjadi lemah. Apabila ini berlaku urusan rumah tangga sudah mulai terabai.

Keadaan ini sudah menjadi satu beban kepada wanita dalam memain peranannya sebagai isteri dan ibu.

Tiada ulasan: